Friday, June 25, 2010

Ucapan Dalam Perbahasan RMK 10

** Sejak dibentang konsep pembangunan "Satu Malaysia", ramai rakyat yang saya dapat menghubungi sanggup menyatakan mereka percayai keikhlasan Perdana Menteri untuk mewujudkan masyarakat "Satu Malaysia" untuk rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ramai rakyat sedar akan paradigma "Satu Malaysia" jika mendapat sokongan kuat dari majoriti pemimpin-pemimpin dan rakyat akan menghasilkan impian sebuah negara yang berharmoni dan bersatu-padu, kuat dan kukuh bukan sahaja dalam arena ekonomi, bahkan dalam politik negara.

Rakyat dan pemimpin keseluruhan harus bersikap terbuka dan berfikiran liberal supaya memberi peluang kepada PM menjelmakan konsep "Satu Malaysia" di dalam pentadbiran kerajaan. Jika fikiran sempit, bersikap acuh tak acuh, atau pun mengadakan muslihat menggagalkan usaha PM dan usaha rakyat untuk menjayakan impian mewujudkan masyarakat "Satu Malaysia". Orang seperti ini boleh dianggap sebagai pengkhianat negara. Ini disebabkan sebarang perbuatan mensabotaj usaha mewujudkan masyarakat "Satu Malaysia" hanya dilakukan anasir-anasir yang ingin menangguk di air keruh polarisasi kaum.

Model Baru Ekonomi telah mendapat sambutan rakyat yang menggalakkan kerana ciri-ciri liberalisasi terpamer dalam pendekatan yang baru. Walaubagaimanapun, unsur-unsur liberalisasi ini tidak jelas ditonjol di dalam RMK 10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mengikut persepsi kebanyakan rakyat setakat ini. RMK 10 lebih dipersepsikan, dianggap atau difaham sebagai satu "policy framework" atau rangka dasar kerajaan yang belum diisi dengan dasar-dasar spesifik. Saya berharap kerajaan akan mengambil berat pandangan dan cadangan rakyat yang membina. Semoga RMK 10 akan mencapai matlamat seperti dirancang.

Rakyat menyambut baik usaha kerajaan ingin meningkatkan taraf serta kualiti hidup golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah tanpa mengira kaum. Dalam cadangan kerajaan untuk menyusun semula skim subsidi, langkah komprehensif perlu diambil untuk memastikan Skim Subsidi baru hanya untuk membantu golongan rakyat yang memerlukannya khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah.

Untuk membantu golongan berpendapatan ini membebaskan dirinya dari belenggu kemiskinan, kerajaan juga harus memberi segala bantuan untuk mendapat kemudahan pendidikan yang setinggi-tingginya atau latihan kemahiran yang seboleh-bolehnya agar mereka tidak lagi memerlukan perlindungan lagi.

Kerajaan harus meninjau semula program latihan perguruan untuk memastikan bekalan guru terlatih mencukupi untuk menampung keperluan guru tambahan ekoran daripada cadangan kerajaan untuk mengawalkan umur permulaan persekolahan memandangkan kini masih sering kedenganran kekurangan guru di SJK(C). Jangan lagi pegawai-pegawai KPM menguluarkan komen bahawa tidak cukup pemohon dari kaum Cina untuk menyertai kursus latihan perguruan kerana komen seperti ini tidak pernah membayangkan hakikat yang sebenarnya.

Dalam melaksanakan program satu murid satu permainan, kerajaan perlu mengambil langkah untuk membantu sekolah-sekolah khususnya SJK(C) yang hanya mempunyai tapak sekolah seluas 2 ekar, tetapi populasi murid melebihi 3 ribu orang. Terdapat 2 buah sekolah SJK(C) seperti ini dan sebuah SJK(T) yang masih belum ada bangunan sekolah sendiri. Penduduk-penduduk di Taman Desa Jaya memerlukan sekolah kebangsaan.

Rakyat sokong usaha kerajaan mengarusperdanakan dan memperluas akses kepada Pen. Teknikal dan Latihan Vokasional yang berkuali (TEVT). Saya cadangakan lebih kemudahan latihan disediakan untuk menampong keperluan ini. Di kawasan Parlimen Tebrau, rakyat menunggu lama penyediaan sebuah kolej komuniti untuk bersama menikmati manfaat daripada usaha kerajaan itu.

Saya berasa lega dan ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran kerana bercadang memansurkan peperiksaan UPSR dan PMR. Kedua-dua peperiksaan ini sudah lama menggugat sistem pendidikan kerajaan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang kreatif dan inovatif, malah mengongkong pemikiran pegawai-pegawai pelajaran, guru-guru, serta ibubapa untuk semata-mata memaksa anak-anak mereka, murid mereka mengejar sebanyak mungkin bilangan A di dalam peperiksaan. Seolah-olah persekolahan anak kita hanya untuk peperiksaan sahaja. Gagal atau jaya seorang anak murid hanya dilihat dan diukur berapa A tercapai dalam setiap peperiksaan yang telah diambil. Pada halnya minat dan bakat kreatif dan innovatif dibunuh tanpa dihiraukan. Tibalah masa kita menganjak paradigma tentang pendidikan anak-anak kita. SEmoga usaha kerajaan membina modal insan yang berkualiti, berfikiran kreatif dan berakhlak yang tinggi yang sebenarnya diperlukan untuk membantu pembangunan negara akan tercapai.