Wednesday, September 30, 2009

Johor: Jeti hampir runtuh


JETI nelayan di Kampung Air Putih, Sungai Tiram
yang uzur dan perlu diganti baru.

200 penduduk Kampung Air Putih bimbang keselamatan

ULU TIRAM: Lebih 200 penduduk dan nelayan di Kampung Air Putih di sini dan kampung sekitarnya, berdepan dengan bahaya ekoran jeti sedia ada di situ kini dalam keadaan uzur dan tidak selamat untuk digunakan. Pembinaan jeti baru perlu bukan hanya kerana faktor keselamatan penduduk dan nelayan, tetapi juga ekoran pemilik tanah di situ tidak mahu lagi tanah mereka menjadi laluan penduduk ke jeti itu, yang digunakan sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketua Kampung Air Putih, Saadon Ali, berkata permohonan pembinaan jeti baru itu sudah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Johor Bahru, Julai lalu tetapi belum mendapat jawapan. "Jeti itu sudah uzur, tiang pondok untuk orang awam berehat sudah roboh dan seakan-akan menunggu masa untuk tumbang ke laut, manakala lantai dan penghadang pula patah. "Laluan yang digunakan untuk ke jeti itu juga bakal dipagar oleh pemilik tanah dan itu adalah haknya sebagai tuan tanah. Selepas berbincang, tuan tanah menggunakan budi bicara memberikan keizinan untuk penduduk terus menggunakan laluan yang ada sehingga jeti baru dibina," katanya ketika ditemui di projek naik taraf jalan ke jeti itu, di sini, baru-baru ini.

Katanya, beliau juga hairan ekoran ada sesetengah pihak menganggap permohonan bagi pembinaan jeti baru mendatangkan banyak pembaziran dan mereka mahukan jeti sedia ada dibaik pulih, sedangkan laluan ke jeti itu akan dipagar oleh pemilik tanah. “Saya kesal dengan dakwaan yang mengatakan ia membazir kerana permohonan pembinaan jeti baru adalah bersebab dan bukan untuk suka-suka serta membazir. Keselamatan dan keselesaan harus diutamakan," katanya. Wakil nelayan kampung terbabit, Md Hajis Nazir, 36, pula berkata pembinaan jeti baru adalah perlu kerana struktur jeti sedia ada berbahaya dan tidak selamat digunakan oleh hampir 40 nelayan serta lebih 200 penduduk lima kampung di sekitarnya. "Pembinaan jeti baru adalah penting kepada nelayan untuk mendaratkan hasil laut. Jika tidak dibina, penduduk dan nelayan mungkin berdepan masalah dan jika ketika itu sesuatu yang tidak diingini berlaku, ia sudah terlalu lambat untuk dikesalkan," katanya.


TENG (kiri) melawat tapak projek naik taraf jalan ke jeti baru
di Kampung Air Putih Sungai Tiram.



Sementara itu, Ahli Parlimen Kawasan Tebrau, Teng Boon Soon, yang turut mengadakan lawatan ke tapak projek naik taraf jalan ke jeti berkenaan di sini, berkata pihaknya akan cuba mendapatkan kelulusan untuk pembinaan jeti baru itu secepat mungkin daripada Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani. "Kita berpendapat, pembinaan jeti baru adalah wajar dilakukan demi kebaikan semua pihak, termasuk penduduk dan nelayan. Kita tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku kepada mereka pada masa akan datang seperti mengakibatkan ada nyawa terkorban ataupun nelayan susah mencari rezeki," katanya.

No comments: