Saturday, April 16, 2011

Hari Anugerah Permata Gemilang; Hari Bertemu Pelanggan dan Hari Keusahawanan


Pasir Putih: 16hb April 2011.


YB Ahli Parlimen Tebrau telah dijemput untuk merasmikan Hari Anugerah Permata Gemilang SMK Pasir Putih pada jam 8.30am.


Ucapan Perasmian:



"Bersyukur kita kerana pada hari ini dapat bersama-sama berkumpul dalam Majlis Anugerah Permata Gemilang SMK Pasir Putih. Tahniah kepada ibu bapa kerana dapat meluangkan masa untuk sama-sama hadir ke majlis ini. Sesungguhnya kehadiran ibu bapa hari ini adalah melaksanakan sebahagian tanggungjawab sosial bagi menyuntik semangat anak-anak agar lebih berjaya dalam pelajaran. Program-program sebegini sememangnya perlu diadakan setiap tahun dan kehadiran ibu bapa juga mencerminkan keprihatinan ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak mencapai kejayaan dalam pelajaran. Namun, para pelajar perlu sedar bahawa kecemerlangan yang diperoleh pada hari ini sebenarnya merupakan titik permulaan kecemerlangan pada hari-hari yang akan datang.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk modal insan berkualiti, institusi sekolah amat berperanan penting. NKRA (National Key Result Area) merupakan asas penilaia standard yang diwujudkan untuk membantu pencapaian standard yang diperlukan institusi kerajaan dalam menjalankan fungsi masing-masing. Dalam konteks sekolah SKRA (School Key Result Area) diwujudkan untuk memperkukuh institusi sekolah dalam usaha melahirkan modal insan yang bakal menjadi tonggak pembinaan dan pembangunan negara. Walau bagaimanapun, peranan institusi sekolah kini tercabar dengan pelbagai isu seperti pelajar melawan guru, ponteng sekolah, buli dan bermacam-macam lagi yang selalunya menjadi buah mulut yang seakan-akan mencalar kredibiliti guru. Realitinya, sekiranya isu ini dapat ditangani dengan cermat dan efisien, tentunya dapat menambah semangat warga pendidik.


Tuan-tuan dan puan-pun yang dihormati sekalian,


Perdana Menteri kita selalu muncul dengan idea-idea bernas untuk kesejahteraan rakyat. Konsep 1 Malaysia yang telah diperkenalkan sewajarnya kita terapkan dalam diri dan menjadi contoh ikutan anak-anak. Saya faham, perjalanan masa amat pantas berlalu ditambah dengan tuntutan hidup yang memerlukan ibu bapa bekerja sekaligus memenuhi kerenah anak-anak zaman moden. Walau apa pun, kita harus sentiasa prihatin menegur dan mendidik remaja agar mereka tidak terpedaya dengan pengaruh-pengaruh negatif yang merosakkan minda dan merencatkan agenda pembangunan negara. Jadilah ibu bapa yang dapat diteladani anak-anak dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah demi melahirkan anak-anak yang gemilang dari segala aspek kehidupan. Tambahan pula, pada masa ini, tuntutan pengisian nilai budaya luhur semaki mendesak.


Para hadirin sekalian,


Saya percaya, guru-guru mencurah keringat yang bukan sedikit untuk kejayaan anak-anak kita. Pendidik yang baik akan melahirkan anak-anak didik yang cemerlang. Jadi, guru-guru perlu bersikap lebih profesional, lebih demokratif dan lebih kreatif untuk dapat menarik minat pelajar mendalami ilmu. Transformasi dalam pendidikan telah menyaksikan revolusi dan menyebabkan peningkatan ketara dalam menggerakkan pembangunan negara. Hal ini semua berlaku berkat usaha guru-guru yang bekerja keras tanpa mengenal putus asa.


Akhir kata, tahniah diucapkan kepada pihak sekolah yang berjaya menganjurkan majlis pada hari ini. Semoga majlis ini akan memberi kesan baik terhadap kejayaan sekolah. Dengan sukacitanya saya merasmikan Majlis Anugerah Permata Gemilang SMK Pasir Putih tahun 2011.


Sekian, terima kasih.










No comments: